Thursday, December 11, 2008

Sepetang bersama brader car wash

Tengah aku khusyuk membaca paper. Sambil menunggu kereta aku siap dibasuh. Tiba-tiba terdengar suatu perbualan yang sungguh common dan bersahaja tetapi amat menusuk di kalbu.

"Nak basuh kereta luar dan dalam ye...", kata seorang pelanggan yang sudah level pakcik-pakcik sambil memaparkan riak muka yang begitu mengharap.
"Sori bang, sabun habis...!!", balas brader car wash kepada pelanggan tersebut.

Apa kejadah semuanya ini? Kau nak berniaga atau tidak? Aku betul-betul tak faham. Tak faham dengan sikap dan mentaliti orang kita. Melayu kita. Memang asal boleh saja. Tak pernah bersungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Tak profesional langsung. Pendek kata.

Aku yang terdengar perbualan tu pun terasa nak marah. Tidak semena-mena. Pakcik yang menerima jawapan bersifat foolish itu. Aku rasa lagilah berganda-ganda rasa amarah yang terbuku di hati. Tapi pakcik tu dengan bersahaja meninggalkan tempat kejadian. Cool habis. Memang brader car wash tu bernasib baik.

Apa mungkin pakcik itu sudah tidak mempunyai perasaan lagi? Atau mungkin beliau sudah memang lali dengan jawapan sebegitu? Mungkin juga. Aku membuat tekaan secara serkap jarang. Tapi aku pasti. Kerna aku sendiri sering mendengar ungkapan yang serupa.

Bukan takat tu saja. Tertera di banner. Waktu perniagaan bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Tapi masalahnya setiap kali aku datang menjengah jam sepuluh pagi tak pernah buka. Datang bertandang belum pukul enam petang. Apatah lagi. Premis dah tutup. Apa cerita?

Korang rasa dengan attitude sebegini. Boleh kah bangsa Melayu berjaya dalam bidang perniagaan? Kah kah kah juga...

P/s : Lu orang jangan pelik plak. Apahal tetiba gua boleh post entri ni. Ni pun gua cilok-cilok masa terluang je brader! Kebetulan kelas gua batal. Kalau tak jangan haraplah...

Friday, November 14, 2008

Kajang Pak Malau

Hari ini. Jumaat. Last day sekolah. Esok cuti sekolah. Esok tiada pelajar ke sekolah. Esok keadaan sunyi sepi satu sekolah.

Esok tiada lagi hilai tawa dan derai air mata. Hilang segala.

Sebenarnya. Aku rasa sayu setiap kali cuti sekolah. Terasa berat hati ini untuk meninggalkan sekolah. Meninggalkan hiruk-pikuk suasana kelas. Meninggalkan haru-biru karenah pelajar-pelajar. Terutamanya. Juga tempat di mana aku telah bermastautin. Selama lebih dua tahun.

Aku pasti rindukan itu semua.

Sering terlintas di benak pikiranku. Persoalan demi pesoalan. Apakah ini suatu bentuk ujian yang dinamakan perpisahan? Poyo. Adakah aku akan bertemu lagi dengan mereka? Ya. Mungkin. Kalau panjang umur. Aku rasa. Perasaan sebegini hanya diselami dari hati seorang guru yang ikhlas. Perasan! Tidak mengapa. Aku memang jejaka perasan.

Kesengsaraan aku bertambah parah dengan keserabutan yang melanda. Segala macam bentuk assignment yang perlu aku langsaikan. Major dan minor. Maklum sajalah. Aku kan masih menuntut. Menuntut di salah sebuah maktab tua di bandaraya Kuala Lumpur. Dalam tempoh cuti sekolah.

Namun terubat juga kedukaan. Akhirnya. Sementelah hari ini berlangsungnya majlis gilang-gemilang. Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penyampaian Hadiah. Di kesempatan itu. Akan aku gunakan sebaik mungkin untuk beramah mesra dengan murid-murid kesayanganku. Terimalah...

"Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu. Dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu..."

*Sila baca bait-baitnya dengan lontaran intonasi yang sedih dan disulami dengan alunan nada yang terputus-putus.

P/s : Petang ni juga gua akan gerak balik ke Kuantan. Ahad ni pula gua akan ke maktab. Gua syak yang gua akan berada dalam keadaan yang sangat sibuk. So gua tak pasti sama ada gua boleh luangkan masa atau tidak untuk berblog dalam tempoh terdekat ini. Lu orang jangan rindukan gua sangat!

Wednesday, November 12, 2008

Gua ngan cicak memang tak ngam..!!

Aku lapar. Teringat ada lauk ayam pedas dalam peti. Boleh juga panaskan lauk dan makan dengan nasi nanti. Itu yang aku fikirkan sejak tadi.

Pergi dapur. Aku berhajat nak tanak nasi. Lalu aku terus menghampiri rice cooker. Buka saja tudung rice cooker. Ada seekor cicak bersaiz king tengah berlingkar. Apa lagi?. Melompat 'kegirangan' lah aku. Masa itu juga. Tudung periuk entah ke mana. Aku sendiri entah ke mana.

Tidak semena-mena kaki aku memecut laju. Secara tiba-tiba. Habis satu rumah aku tawaf. Aku sudah hilang kawalan. Memang tak boleh control. Ketika itu. Tuhan saja yang tahu perasaan aku. Terasa macam nak buat panggilan kecemasan saja. Paling tidak. Meminta bantuan orang kampung.

Aku memang jenis yang tak boleh tengok cicak. Baik posisi statik. Mahupun yang dalam keadaan tergesa-gesa untuk bersembunyi. Setelah ternampak kelibat manusia. Yang sudah terkulai tidak bernyawa pun sama saja. Geli nak mati. Ya. Geli yang amat!

Lepas beberapa ketika. Setelah emosi aku stabil. Aku menggunakan batang penyapu untuk memastikan tiada lagi makhluk tersebut. Setelah segalanya selesai. Makanlah aku dalam keadaan yang tidak berapa selera. Pada petang itu. Setelah kotak fikiranku masih dibelenggu imej binatang bergelar cicak.

Cicak yang aku jumpa tadi. Aku syak cicak jantan. Sebab berwarna hitam. Kalau betina mesti putih kat area muka. Pakai fair & lovely mungkin. Lagipun tiada sehelai rambut pun di kepala. Mesti skinhead ala Mawi. Kalau betina mesti rambut ikal mayang. Lurus teknik rebonding paling tidak. Aku melawak saja!

P/s : Gua memang geli gila kat cicak beb!! Sumpah. Start dari hari tu gua dah mula rasa sangsi nak buka rice cooker laju-laju. Mesti pikir dua tiga kali sebelum menjengah ke dalam. Cilakak punya cicak..!!

Monday, November 10, 2008

Layanan istimewa

Tengah hari tadi. Aku dan beberapa rakan sejawatan ke majlis kenduri kahwin. Jemputan pelajar aku. Atas tiket makcik dan pakcik dia menjadi raja sehari. Secara serentak. Dua pasangan pengantin. Memang molek.

Aku sampai agak lewat juga. Dalam pukul dua lebih. Tapi sudah dijemput. Aku tetap memenuhinya.

Sesampainya di rumah pengantin. Felda Keratong 3. Aku disambut dengan senyuman manis. Oleh Athirah. Si empunya pakcik dan makcik. Dia kelihatan sungguh jingga. Mungkin mengikut tema pengantin. Ada lagi beberapa orang pelajar yang menzahirkan perilaku tersebut. Sebenarnya. Kesemuanya perempuan.

Aku terus dipelawa untuk mengambil tempat. Di bawah kanopi. Dengan tujuan santapan tengah hari. Self-service. Sesudah itu. Aku terus duduk. Menghadap sepinggan nasi yang aku ambil tadi. Dari saat itu. Athirah segera memainkan peranan.

Dari sejug air sirap hinggalah kepada sepinggan bubur. Dari air pembasah tekak hinggalah pencuci mulut. Semuanya dihidangkan oleh Athirah. Dengan hati yang terbuka. Sehinggakan air minum pun dituangkannya ke dalam gelas. Aku dilayan seperti seorang tetamu istimewa. Pendek kata.

Sambil makan. Athirah memperkenalkan kami kepada ibunya. Sebagai gurunya. Sungguh sweet. Sebelum pulang. Kami dihadiahkan pula sebeg goodies setiap seorang. Oleh si Athirah juga. Sungguh murni. Aku memang terharu. Terharu dek kesungguhan dan keikhlasannya itu.

Sehingga kini. Aku masih tertanya-tanya. Aku cikgu kesayangannya kah? Kah kah kah. Mungkin juga...

P/s : Gua sibuk gila skang ni. Sampai nak makan minum pun tak sawan. Tak senang hati. Sibuk dengan aktiviti rutin akhir tahun. Iaitu menanda kertas peperiksaan. Ya. Final exam. Jadi lu orang jangan ingat gua menyepikan diri pula.

Wednesday, November 5, 2008

Najis ibab


Buletin Utama. Malam semalam.

Diberitakan. Di Naka, Kedah. Terdapat satu ladang betik yang disyaki menggunakan najis babi sebagai baja. Ya. Najis babi. Perkara ini diakui sendiri oleh pekerjanya. Seorang warga Bangladesh.

Untuk menjernihkan kekusutan penduduk. Maka terbitlah pendapat daripada kalangan ulama'. Ianya boleh dimakan. Halal. Ini berdasarkan dalil-dalil yang diyakini. Ok. Selesai satu masalah.

Namun timbul sekelumit keraguan. Apakah betik tersebut dijamin tidak terjatuh di atas tanah yang tercemar dek najis haiwan yang suka menyondol itu? Apakah tangan pekerja yang terkena najis tersebut sudah menunaikan tanggungjawabnya? Jika kedua-dua senario ini berlaku. Adakah betik-betik tersebut juga telah disamak?

Persoalannya kini. Kenapa mesti najis babi digunakan sebagai baja? Najis haiwan-haiwan lain tidak mempunyai khasiat kah? Kah kah kah juga. Kenapa tidak gunakan saja najis manusia? Lebih mudah bukan? Arahkan saja pekerja-pekerja termasuk mandurnya sekali. Berak di pangkal pokok betik. Tatkala malam menjelma. Baru padan muka. Memang tidak sensitif!

P/s : Ibab merujuk kepada sejenis binatang yang bertubuh sasa lagi berbulu. Sedara jauhnya di bandar tidak pula begitu. Gebu, comel, pink dan jambu. Namun kedua-duanya sentiasa mempamerkan aksi hidung yang bersahaja tetapi agak keterlaluan. Pendek kata. Babi. Istilah ni gua dapat masa duduk hostel dulu. Trendnya simple tapi catchy. Iaitu dieja secara terbalik.

Tuesday, November 4, 2008

Bahana atau nikmat?

Minggu lepas lepas. Hari Khamis. Bersempena cuti Deepavali. Aku sekeluarga ke KL untuk melawat abang dan adik. Sambil ke sana. Kami mengambil peluang bercuti dan melawat tempat-tempat menarik.

Aku bercadang untuk pergi ke Sunway Lagoon. Memandangkan aku tak pernah jejakkan kaki ke sana. Aku bertambah yakin dan bersemangat setelah mengetahui harga tiket adalah sekitar dua puluh ringgit. Menurut adik aku yang pernah sampai ke sana sekali sebelas tahun yang lalu. Murah dan berbaloi. Pada hemat aku.

Hari Sabtu yang indah. Setelah bersedia dengan kelengkapan mandi. Aku dan adik-adik terus menuju ke Sunway Lagoon. Berbekalkan semangat yang berkobar-kobar. Terbayang di kepala. Membuat aksi-aksi yang bersahaja ketika meluncur deras dari gelungsur air. Juga ketika terjun ke dalam pantai buatan manusia. Somersault mungkin. Terjun tiruk paling tidak pun. Alangkah indahnya!

Sesampainya di sana. Aku terus ke kaunter. Aku terkejut besar. Harga sekali masuk mengikut pakej. Pakej paling murah pun berharga tiga puluh ringgit lebih. Itu pun hanya boleh main air saja. Apa barang aku datang jauh-jauh nak mandi saja! Jadi terpaksalah aku mengambil pakej sederhana mewah. Pakej B. Harga empat puluh lapan ringgit. Jadilah. Boleh juga aku pekena roller coaster dan berhayun 360 darjah dengan tomahawk dan pirate's revenge.

Aku ada bertanya kepada gadis kaunter. Sama ada boleh berseluar pendek untuk bermain gelungsur air dan permainan air yang lain. Tidak pasti. Itu jawapan dia. Jadi untuk selamat. Terpaksalah aku membeli tied. Ya. Seluar yang ketat itu. Aku rasa akulah jejaka paling seksi. Pada masa itu. Takkan aku nak pakai swimming trunk. Taubat. Aku takkan buat. Di mana nak letakkan maruah pendidik aku nanti. Pasti pelajar-pelajar akan mengejek aku. Jika aku dilihat dalam keadaan sedemikian oleh mereka.

Nak masuk. Kena spot check pula. Makanan luar tak boleh bawa. Jadi habis biskut chipsmore aku terkorban. Ngam-ngam masuk tong sampah. Dah masuk. Aku enjoy katak. Maklumlah. Revenge time! Habis semua permainan aku cuba. Baik yang santai mahupun yang kecut perut akibat gayat yang melampau. Tapi yang malangnya. Aku tak tahu selok belok kat dalam tu. Kot-kot ade sign board ke apa. Haram. Aku sesat memanjang. Dia punya luas kawasan hanya orang yang pernah sampai saja tahu.

Akibatnya. Aku terpaksa merentasi jambatan gantung yang tersangat panjang. Sebanyak dua kali. Untuk sampai dan meninggalkan water park dari amusement park. Aku menghabiskan masa lebih kurang setengah jam juga. Di situ saja. Walhal eskelator disediakan. Damn. Dia punya letih memang tak ingat. Kena memanjat tangga setinggi seratus meter mungkin. Akibatnya juga. Aku terlepas beberapa permainan menarik kerana premis sudah ditutup. Cilakak punya jambatan gantung!

Trip kali ni. Aku tak pasti sama ada ianya bahana atau nikmat. Apa yang pasti. Aku enjoy bersantai di sana.

P/s : Sampai ke hari ni pun gua tak dapat nak bayang. Macam mana kalau gua lepak sana sambil memakai swimming trunk. Memang tak cocok. Walhal boleh je pakai seluar pendek. Gua empat beradik habis dekat tiga ratus juga. Itu belum masuk kos-kos sampingan. Macam ni gua boleh pokai brader!

Friday, October 31, 2008

Ju-ma-at

Setiap kali Jumaat. Solat Jumaat. Spesifiknya. Aku akan teringat tentang satu perkara. Perkara yang berlaku di depan mata.

Pada hemat aku. Masalah ini sering berlaku di semua tempat. Tak kira di kota besar mahupun nun ceruk pedalaman sana. Mengapa? Kerna mentaliti orang kita hampir sama. Tidak berubah. Masalah yang aku maksudkan adalah saf yang renggang ketika mendirikan solat jemaah.

Pada perkiraan aku juga. Masalah ini sebenarnya telah menimbulkan suatu bahana yang lebih dasyat. Solat yang didirikan akan menjadi kurang penghayatan atau lebih familiar digelar khusyu'. Tersurat. Lahirnya generasi yang tamak dan mementingkan diri. Tersirat. Bagaimana ia terjadi?

Apabila saf renggang. Merujuk kepada kaki dan bahu yang tidak bersentuhan. Maka setan akan berleluasa membuat onar. Khusyu' tergadai. Apabila saf renggang juga. Dalam konteks sengaja dilakukan. Dengan niat untuk mendapat sedikit ruang apabila berada dalam posisi tahiyyat akhir. Senario ini akan memupuk suatu sifat yang cukup naif lagi daif. Tamak haloba dan selfish.

Sifat tersebut menjadikan kita tidak memikirkan tentang keperluan orang lain. Mungkin dengan merapatkan saf orang lain dapat solat di ruang jemaah utama. Lebih jauh lagi. Hubungan silaturrahim sesama kita akan menjadi utuh. Mungkin juga. Namun dek sifat 'bagai anjing dengan bayang-bayang'. Maka kerukunan masyarakat terabai.

Renung-renungkan dan selamat beramal...*sebut bait-baitnya dalam slanga Terengganu

P/s : Sebenarnya masalah ni berlaku bukan saja pada 'penghulu segala hari'. Setiap kali solat jemaah. Pendek kata. Cuma pada gua benda ni lebih sinonim dengan solat Jumaat. Sebabnya? Gua jarang-jarang solat jemaah kat masjid. Semayang solo memang tabiat gua. Tapi solat Jumaat gua tak miss brader!

Wednesday, October 29, 2008

Budaya malaun

Raya kian menghilang. Namun aku masih ingin berbicara soal raya. Apa mau peduli? Raya kan sebulan.

Aku ingin berbicara soal budaya yang telah lama muncul dan berakar umbi dalam masyarakat kita hari ini. Budaya biasa yang bisa mengancam suatu budaya yang lain. Budaya yang aku maksudkan adalah budaya melangok di depan tv dan budaya obsesi terhadap hanpon. Di hari mulia.

Kita sering dihidangkan dengan rancangan-rancangan yang menggiurkan. Tatkala raya menjelma. Raya pertama. Rancangan yang paling mantap disajikan. Raya kedua. Rancangan kedua mantap disediakan. Begitulah seterusnya. Mengikut urutan hierarki kemeriahan raya. Apa kejadah semuanya ini? Apakah kita disogok untuk menyertai rancangan 'Mari mengira bersama cikgu Maimon'? Har har har. Memang menjengkelkan.

Semua stesen tv seolah-olah berebut-rebut menayangkan rancangan terbaik. Baik stesen tv kepunyaan kerajaan, swasta mahupun stesen tv berbayar. Baik RTM, Media Prima mahupun Astro. Baik Shabery Cheek, Farid Ridzwan mahupun Ananda Krishnan. Enough. Manakah perginya tanggungjawab sosial terhadap masyarakat? Yang diutamakan hanyalah profit. Semata-mata.

Budaya songsang yang tidak kurang hebatnya menjerut leher adalah obsesi hanpon. Kini. Anak-anak muda lebih berahi bersms dan bergayut. Daripada bersua muka. Daripada bertentang mata. Tidak kira waktu dan tempat. Di malam raya mahupun di pagi raya. Di masjid mahupun di rumah. Pada hemat mereka. Cara ini lebih urban dan cool. Cool kepala hanggok dia. Budaya inilah yang menjadikan kita semakin sombong dan mementingkan diri.

Kedua-dua budaya ini telah mengkakis suatu budaya yang sangat mulia lagi dituntut. Budaya kunjung-mengunjung. Budaya beramah mesra bersama kaum keluarga. Budaya interaksi langsung antara manusia dengan manusia. Semuanya. Kian dipinggirkan oleh anak-anak muda. Dasar budaya malaun.

Footnote : Gua hanpon memang tak berapa nak layan. Tak kira musim raya atau hari-hari biasa. Takde feel. Tapi tv tu kadang-kadang gua tak boleh tahan gak beb. Gua selalu je goyang bila ada rancangan-rancangan yang mantap dan molek!! Ishk.

Footnote lagi : Gua memang dah ke bulan nih! Punyalah gembira. Rasa dah tak berpijak di bumi nyata. Akhirnya ego Chelsea berkubur. Lebur bersama rekod tanpa kalah sebanyak 86 kali di Stamford Bridge. Siapa punya angkara? Liverpool bai. Gua cakap sama lu...

Thursday, October 23, 2008

Panahan asmaradana

Beberapa bulan yang lalu. Sejak aku menjadi blogger tegar...

Aku dah takde feel nak layan rancangan kat tv. Melainkan bola dan berita. Aku dah takde nafsu nak main bola petang-petang. Walhal dulu-dulu tak boleh miss. Aku juga dah takde rentak nak tidur awal. Sedangkan dahulunya sebelum jam dua belas dah melepek atas katil. Aku sering ralit sehingga terlajak membawa ke pukul satu pagi atau lebih. Kini segalanya berubah.

Arakian, sebelum aku bercuti sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang dan Deepavali. Kamu juga. Ada persoalan yang ingin aku ajukan.

Adakah itu suatu yang normal? Atau aku saja yang mengalaminya? Tolong jawab brader.

P/s : Amacam geliga tak otak gua? Meninggalkan lu orang dengan satu persoalan yang begitu bersahaja tetapi mendalam maknanya. Petang ni gua dah gerak balik kampung. Gua tunggu beb jawapan lu...

Tuesday, October 21, 2008

Buka rumah

Sebelum keluar kelas. Aku mengajak budak-budak untuk beraya ke rumah. Sementelah aku tidak ke mana pada hujung minggu. Budak-budak cuma memberi reaksi yang bersahaja. Lantak. Yang penting aku dah pelawa mereka.

Aku menggunakan teori bahawa setiap pelajar teruja untuk datang ke rumah guru. Mereka berhak. Lebih-lebih lagi guru kesayangan mereka. Jadi peluang ini hanya terbuka setahun sekali. Ketika raya menjelma.

Bagaimana aku boleh menduga? Ini berdasarkan pengalaman aku sendiri. Aku masa muda-muda dulu teringin benar untuk menjejakkan kaki ke rumah guru. Nak pergi pada hari biasa. Takut dilabel sebagai pailang. Iaitu terma yang sering dilemparkan kepada orang yang gila pangkat. Apa cerita? Aku yang tiada niat apa-apa pun jadi goyang beb!

Makanya aku tak mahu budak-budak aku mengalami situasi yang sama. Jadi aku jemput mereka dengan hati yang terbuka. Secara rasmi. Lebih formal. Dengan harapan agar mereka tidak keberatan untuk bertandang. Aku memberi sedikit panduan. Datanglah hari Sabtu. Selepas Zohor. Baru aku bersedia.

Tup tup. Mereka datang hari Jumaat petang. Apa kes? Tidak bertindak mengikut arahan betul lah mereka ni. Bertindak mengikut nafsu. Aku tidak bersedia langsung. Dekat juga sepuluh orang yang datang. Aku tak kisah. Aku layankan. Tapi hidangan cuma ala kadar. Jadi aku menyuruh mereka kembali semula keesokan harinya. Sebagai ganti.

Keesokannya. Mereka serbu rumah aku untuk second round. Sebab aku dah janji nak masak juadah yang enak-enak. Haram. Last-last aku goreng fries dan nugget saja. Pekena plak dengan air gas. Pantang letak. Licin. Memangla budak-budak laki ni. Gelojoh.

P/s : Apa cerita bai Liverpool menang lagi? Macam biasa la buat come back setelah ketinggalan dua kali. Sepanjang tempoh perlawanan. Gua memang kena serangan coronary heart disease. Rasa macam nak meletup je jantung gua!! Takpe. Janji menang...

Monday, October 20, 2008

Bila agaknya aku boleh tarik rambut kerinting Rossi?


Litar Sepang hanya akan menganjurkan Moto GP sampai tahun depan saja. Itu yang member aku cakap. Maksud dia Litar Sepang hanya ada kontrak selama setahun saja lagi.

Nama member aku ni Zizol. Mat-mat Kelantan panggil dia Jijoe. Mamat nilah yang bertanggungjawab menghidupkan semangat Moto GP dalam diri aku. Memang bara semacam hati aku bila sebut pasal Moto GP.

Aduh. Jantung aku berdegup dah lain macam. Aku mula cuak. Dah la aku tak pernah jejak kaki kat sana. Walhal aku teringin benar nak melihat aksi bersahaja Valentino Rossi memotong di selekoh tajam. Sambil melakukan aksi corner baring di atas litar. Sambil mengasah pad lutunya itu.

Maklumlah aku peminat nombor satu pemegang nombor keramat 46 tu. Paling tidak dapat berbalas senyuman dengan Rossi ketika upacara penyampaian trofi. Jadilah. Paling tidak juga dapat aku menyambut kasut atau helmet racing kepunyaannya yang dicampak ke bawah dari podium.

Sebenarnya pakcik aku yang bekerja di KL ada offer tiket. Tapi memandangkan aku tengah kopak. Jadi terpaksalah aku membatalkan niat untuk melihat kelibat Casey Stoner, Nicky Hayden, Danny Pedrosa, Jorge Lorenzo dan yang paling penting kelibat 'The Doctor'.

Nasib baik aku boleh tengok live kat channel ESPN. Terubat juga duka. Hilang juga rasa panas di hati. Nasib baik juga Rossi menang bergaya di tempat pertama. Jadilah. Itu pun sudah memadai buat aku.

P/s : Gua dengar berita kontrak Litar Sepang dilanjutkan sehingga 2010. Nasib baik. Makanya gua ada lagi dua tahun untuk mengumpul dana bagi memastikan misi gua berjaya. Akan gua mulakan tabiat mari menabung dan memegang prinsip 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit'. Bermula dari sekarang!!

Friday, October 17, 2008

Terkedu

"Banyak dapat duit raya?", aku memulakan pertanyaan.
"Banyak...RM148!!", jawabnya bersungguh-sungguh.
"Wah...banyak tuh!! Buat apa ngan duit tu?", tanya aku lagi.
"Simpan kat bank..."
"Baguslah. Nanti boleh beli benda yang adik suka", nasihat aku pula.
"Saya nak beli kete", balasnya sambil menunjukkan riak wajah yang serius.
"Kete control eh?"
"Taklah. Kete untuk ayah", jawabnya sambil melemparkan senyuman manis.

Pergh.Terkedu aku mendengarnya. Budak yang baru berumur 9 tahun sudah mempunyai hasrat yang begitu murni. Hasrat untuk meringankan beban ayah, ibu dan keluarganya. Aku cukup kagum dan terharu dengan semangat yang ditunjukkan olehnya.

Nama budak tu Alif Qayyum. Sebenarnya Alif ni anak kepada salah seorang pekerja am kat sekolah aku. Keluarga dia memang cukup sederhana. Sementelah, ayahnya cuma mempunya motor sebagai kenderaan utama. Jadi, Alif berhasrat untuk menghadiahkan sebuah kereta buat ayahnya.

Aku kagum. Sangat-sangat kagum.

P/s : Sejak dari hari tu gua mula kamcing ngan budak tu. Kebetulan, dia ni minat sangat main bola. Dan gua pula cikgu bola. So, memang cocok dan molek. Akan gua pimpin budak ni menjadi seorang penyerang yang berbisa kelak!! Paling tidak dapat menyarung jersi Felda United...

Wednesday, October 15, 2008

Hitamkeluar

Minggu lepas. Hari Khamis. Jam lima petang. Kipas siling berpusing dengan tahap kelajuan tiga. Sedang-sedang molek. Cuaca sikit punya baik. Aku tengah asyik tidur di atas tilam dan bantal yang empuk.

Tiba-tiba kipas siling berhenti. Aku terus terjaga dari lena. Panas agaknya. Aku dah tak sedap hati. Ini mesti blackout. Aku terus bangkit. Dah tak selera nak sambung tidur.

Aku ingat situasi begini akan berlarutan sekejap saja. Seperti sebelum-sebelum ini. Tunggu punya tunggu. Sampai membawa ke malam. Nasib baik ada backup lilin dua batang. Berpanas dan bergelaplah aku. Segala aktiviti rutin terpaksa ditangguhkan.

Jam tangan dah menunjukkan pukul sembilan. Aku dah tak tahan. Makan malam di kedai makanlah nampaknya. Sesampainya di sana. Aku ingat bolehlah makan sambil melihat wajah-wajah penduduk kampung. Apa cerita? Muka sendiri pun tak boleh nampak!! Kot-kot ada generator ke apa ke. Haram. Bergelap jugalah nampaknya. Tak pasal-pasal candle light dinner.

Sepanjang tempoh mencekik. Aku hanya ditemani sebatang lilin. Memang nostalgik lagi tragik. Aku ingat macam tulah keadaannya nenek moyang kita dulu. Bergelap sepanjang masa. Tup tup. Pukul sebelas malam baru pulih. Apa lagi. Akulah orang yang paling gembira ketika itu.

Barulah aku tahu keesokannya. Rupa-rupanya blackout selama lebih enam jam itu melibatkan banyak kawasan. Bukan tempat aku saja. Jadi pengalaman ini dikongsi oleh ribuan penduduk. Bagus juga. Biar ramai yang sedar kepentingan menghargai nikmat.

P/s : Start dari hari tu gua dah mula menunjukkan tanda-tanda untuk insaf. Dah. Gua tak nak membazir elektrik lagi. Barulah gua rasa betapa sengsaranya hidup dalam kegelapan. Barulah gua dapat menyelami penderitaan peserta-peserta rancangan 'Bersamamu'.

Monday, October 13, 2008

Penilaian

Penilaian dan nilai. Dua aspek yang saling berkait rapat. Pendek kata. Kita sering dinilai.

Ada penilaian yang baik. Ada penilaian yang buruk. Ada juga penilaian yang ntah apa-apa. Ada penilaian antara Tuhan dan manusia. Ada penilaian antara manusia dan manusia. Ada juga penilaian antara manusia dan alam semesta.

Namun apa yang pasti. Hari ini adalah hari yang bersejarah buat sekelompok manusia.

Hari ini adalah hari Penilaian Menengah Rendah (PMR). Jadi aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menduduki peperiksaan dan selamat maju jaya kepada semua pelajar tingkatan tiga seluruh negara. Amnya.

Buat pelajar tingkatan tiga sekolah aku. Khususnya. Aku doakan kalian beroleh kejayaan kelak. Aku yakin mereka mampu untuk melakukan sesuatu. Aku berharap mereka dapat menjawab peperiksaan dengan hati dan jiwa yang tenang.

Kejayaan pasti menanti anda...

P/s : Sebenarnya budak-budak gua rilek dan cool jep. Gua dan cikgu-cikgu plak yang cuak lebih-lebih!! Sampai memulas-mulas perut dibuatnya. Ntah lah labu...

Wednesday, October 8, 2008

Aku pasrah

Malam semalam. Lepas Isyak. Aku bersedia untuk ke sekolah.

Nak mengajar budak tingkatan 3. Mata pelajaran Ilmu Hisab. Mereka sangat-sangat lemah subjek ni. PMR dah dekat. Tu yang aku kecewa. Tapi aku tetap nak membantu mereka. Sementelah, aku guru Ilmu Hisab mereka. Maka, kelas tambahan lah nampaknya.

Sebelum keluar rumah. Aku seperti biasa, mengalih saluran tv. Sekali alih. Tv3 menayangkan cerita Dunia Baru the movie. Dua kali alih. Astro Ria menayangkan cerita Cuci. Pergh!! Memang kecur liur dibuatnya. Aku memang dah lama mengidam nak tengok cerita-cerita tu. Masa tu tangan aku dah menggeletar pegang remote. Tak semena-mena.

Aku serba salah. Antara cerita kegemaranku atau pelajar-pelajarku? Aku dengan selamba membuat keputusan. Keputusan yang bertentangan dengan kehendak diriku. Aku memilih pelajar-pelajarku.

Aku pasrah...

P/s : Amacam...gua ada tokoh tak untuk membolot Anugerah Guru Cemerlang 2008?

Tuesday, October 7, 2008

Kagum

Keputusan muktamad. Manchester City 2 - 3 Liverpool.

"Alah menang nasib jer...!!", kata Mark Hughes.
"Tau takpe!! Gua saja je main tak bagus, nak bagi chance kat depa...", tambah Robinho lagi sebagai tanda bersetuju dengan pengurusnya itu.

Apa barang menang nasib. The Reds main sikit punya smart. Siap kena titik 2-0 separuh masa. Masuk separuh masa kedua, terus bangkit. Torres sumbat dua gol. Kuyt skor sebijik. Gol kemenangan.

Aku kagum. Kagum seperti ketika Liverpool menang Champions League. Menewaskan AC Milan. Walaupun sudah ketinggalan tiga gol ketika separuh masa. Kemudian bangkit mendadak. Bangkit menggila. Teringat nostalgia manis...

P/s : Chelsea, Arsenal dan Man U. Lu orang jaga-jaga. Tahun ni The Reds nak rembat title juara liga tuh!! Hull City apa cerita? Gua rasa tak lama tuh...

Tuesday, September 30, 2008

Dam dam dum

Hari ini 30 Ramadhan. Esok Aidilitri menjelang tiba. Esok umat Islam bergembira. Yeah...yeah...esok raya!!

Tengah aku asyik melepak. Tiba-tiba kedengaran, "kaboom...!!". Terkejut beruk aku. Lalu aku teringat... "Dam dam dum bunyi mercun, kanak-kanak segera datang berduyun. Dam dam dum mercun berdentum, semaraklah hari raya ini tahun". Sedutan lagu 'Selamat Hari Raya' oleh Saloma.

Pesanan aku. Jangan main mercun di malam hari. Aku nak tido. Orang lain nak tido. Nanti putus jari. Nanti putus kaki. Nanti putus hati. Itu yang pasti. Kalau nak bakar mercun juga. Silalah tunggu di kala hening subuh. Dialu-alukan.

Di samping kita bergembira. Jangan dilupakan yang tiada. Dalam perjalanan pulang ke kampung. Dalam perjalanan ke destinasi yang dituju. Berhati-hati di jalan raya. Semoga selamat sampai. Semoga bertemu yang tersayang.

Aku gembira. Aku syahdu. Gembira kerana bakal merayakan kemenangan melawan nafsu selama sebulan. Syahdu kerana bakal meninggalkan bulan mulia yang belum pasti aku ketemu lagi.

Di kesempatan ini aku ingin mengucapkan. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin...

P/s : "Dam dam dum...bunyi mercun...". Ei mana ada mercun bunyi macam tu daa!! Tapi lagu ni memang aku suka. Nostalgia dan meriah. Teringat zaman kanak-kanak.

Monday, September 29, 2008

Segalanya sempurna?

Di suatu malam Ramadhan. Macam biasa. Aku ke surau untuk menunaikan solat Isyak berjemaah. Beserta solat sunat terawih. Lokasi. Surau Sg. Isap Perdana.

Sesampainya aku di sana. Aku kagum melihatkan kesungguhan ahli jemaah surau. Terutama kaum hawa. Walaupun ketika tok bilal sudah melafazkan iqamah. Mereka masih tekun membasuh pinggan mangkuk, periuk belanga, cawan gelas dan sudu garpu. Aku hairan. Mengapa mereka begitu bersahaja. Seolah-olah tidak mengendahkan solat Isyak yang bakal didirikan. Tidak takutkah mereka dipanah petir kelak?

Aku cuba mengerti. Pasti mereka 'cuti'. Aku bersangka baik. Aku mengandaikan surau itu telah mengadakan majlis berbuka puasa. Setelah aku amati. Aku pasti. Jadi tidak hairanlah mereka bertungkus-lumus mengemas segala peralatan.

Di suatu sudut. Terdapat selonggok pakaian terpakai yang telah dikumpulkan. Untuk didermakan kepada insan yang memerlukan. Insan yang menginginkan. Insan yang mengharapkan. Sungguh prihatin. Aku mengagumi usaha dan semangat mereka.

Malam itu. Segalanya sempurna. Aku dapat melihat kesungguhan manusia membantu manusia. Kesungguhan manusia menyelesaikan tugasan mereka. Juga kehadiran jemaah yang ramai dalam menghayati bulan mulia. Aku gembira.

Tetapi kemeriahan malam itu sedikit tercemar. Tercemar dek peristiwa bakal kehilangan selipar. Tercemar dek kekecohan suara kanak-kanak yang terbiar. Tercemar dek bunyi pekik lolong mercun yang liar. Apakah patut dibiar...?

P/s : Tapi aku tak sempat terawih pon. Lepas Isyak aku terus balik. Nak tengok bola punya pasal. Hampeh!!

Thursday, September 25, 2008

Nyaris maut

Sekali lagi. Sekali lagi aku nyaris maut. Bukan nyaris maut ditimpa balak. Bukan juga nyaris maut digilis keretapi. Tetapi nyaris maut di atas jalan raya.

Aku macam biasa. Pergi terawih dengan kapcai buruk aku. Aku pon keluar simpang dari kuarters tempat aku menetap. Lepas lima puluh meter aku bergerak. Tak semena-mena. Ada dua buah motor meluncur laju. Meluncur secara beriringan. Sebelah menyebelah. Memang tak boleh blah. Sebuah tiada lampu. Sebuah lagi lampu malap. Memang cukup pakej. Pakej membunuh diri sendiri. Pakej menjerut nyawa pengguna lain.

Sebuah motor yang di sebelah kanan aku. Hampir-hampir merempuh aku dari arah bertentangan. Motor dia makan jalan. Nasib baik aku sempat mengelak. Kalau tidak arwah aku malam itu. Nasib baik juga umur aku panjang. Kalau tidak. Sudah tentu aku tak sempat beraya tahun ini. Kalau tidak juga. Sudah tentu kisah aku ini akan terpampang di dada-dada akhbar perdana pada keesokan harinya. Paling tidak masuk akhbar Sinar Harian. Akhbar Nan Yang Siang Pau? Tak mungkin.

Aku tergamam. Tak sempat berfikir panjang. Sebenarnya...

Nak aje aku hambat mat rempit tu. Nasib baik motor aku tak laju. Kalau tak slumber jep aku corner baring cecah side mirror depan dia. Biar koyak kain sembahyang aku. Biar koyak lutut aku. Janji aku puas hati. Memang menyirap.

P/s : Aku bermastautin di salah sabuah felda termahsyur di Pahang. Mahsyur dengan produk semulajadinya itu. Jadi tidak hairanlah mat rempit bermaharajalela. Kepalo hayah dio!! Aku marah ni.

Tuesday, September 23, 2008

Cream Puff


Di suatu petang yang renyai. Aku ke Param. Lagi-lagi Param. Aku tak peduli. Aku hanya ingin mencari kuih kegemaranku.

Manakan tidak. Segala juadah berbuka puasa sudah disediakan oleh mak. Segala macam. Jadi tiada apa yang perlu aku tambah lagi. Cuma aku dan kuih kegilaan aku. Itu saja yang aku mahu.

Di Param segalanya ada. Dari segala macam juadah hinggalah kepada segala macam manusia. Semua aku perhati. Semua aku tatapi. Semua aku amati. Namun masih belum berjumpa dengan si dia. Si dia kuih idaman hati.

Cari punya cari. Akhirnya ketemu jua. Aku gembira bukan kepalang tatkala melihat kelibatnya. Apa lagi ditunggu. Nah. Ambik kau. Aku nak bungkus sekilo. Huh. Tak dibuat orang. Aku terus tapau empat ringgit. Penuh plastik. Itulah penangan Cream Puff...

Namun aku sedikit kecewa. Kecewa kerana rupanya tidak seindah dulu. Bentuknya tidak segebu dulu. Saiznya tidak sebesar dulu. Harganya juga semakin mahal. Mungkin permintaan yang tinggi di bulan mulia. Pasti harga tepung sudah melambung. Lebih pasti harga minyak sudah melambung. Melambung tinggi yang tidak bisa disambut lagi.

Yang pelik. Yang jelik. Sementelah, kuih ini hanya dijual dengan sewenang-wenangnya pada bulan puasa. Mengapa ini terjadi? Tiadakah permintaan di bulan-bulan biasa? Aku hairan. Aku sasau. Sasau menantikan kemunculannya setahun sekali. Pedih. Memang pedih. Namun aku pasrah.

P/s : Param adalah singkatan bagi Pasar Ramadhan. Dalam erti kata yang lain, Param = Pasar Ramadhan. Jangan slow sangat. Tak pasal-pasal plak kang aku ngaja Ilmu Hisab kat sini. Persoalannya kini. Korang tau ke kuih Cream Puff ni?

Friday, September 19, 2008

Gembira kuasa dua

Aku gembira. Gembira kuasa dua. Apakan tidak. Baru saja pulang dari kampung tercinta.

Misi aku berjaya. Keinginan berbuka bersama ayah dan ibu kepada mak aku kini tertunai jua. Sempat aku berterawih di sana. Sempat aku bermalam di sana. Sempat aku bersahur di sana.

Menu berbuka. Seperti yang dijangka. Masih bersahaja. Tapi tetap berselera.

Gulai ayam, petai jeruk, jering dan sambal budu lada tumbuk. Gua cakap lu. Meleleh beb. Memang makruh (merujuk kepada petai dan jering). Tapi sedap. Air soya. Air tebu. Biasa saja. Kena air sirap selasih. Luar biasa. Sungguh menggiurkan. Kuih tepung pelita pelengkap hidangan jua.

Semuanya home made. Buatan sendiri.

Aku gembira. Gembira kuasa dua. Manakan tidak. Pasukan yang aku puja sejak darjah tiga telah berjaya.

Berjaya menewaskan Marseille di peringkat Eropah. Berjaya menewaskan MU di peringkat liga tempatan. Alasan demi alasan dilemparkan. Tiada setan untuk membantu di bulan Ramadhan. Dasar setan merah!!

Terngiang-ngiang tempikan 'You'll Never Walk Alone' berkumandang. Sungguh merdu alunannya...

P/s : Selasih adalah sejenis bahan yang dimasukkan ke dalam air minuman. Ianya kecil, mantap dan kenyal. Rupanya saling tak tumpah seperti telur katak. Sumpah. Air yang sering menjadi mangsa keadaan adalah sirap dan cikang. Aku suka.

Tuesday, September 16, 2008

Pulanglah

Esok cuti umum. Esok aku gembira. Esok aku balik kampung. Melawat atok dan nenek. Melawat sanak saudara. Melawat kucing dan ayam kampung beserta reban usangnya sekali. Sudah agak lama aku tak balik. Jadi aku teruja. Sangat-sangat teruja. Itu sudah pasti.

Atok dan nenek aku tak berapa sihat. Terutamanya atok. Jadi aku nak sangat berjumpa mereka. Bertanyakan khabar dan menziarahi mereka. Bertanyakan khabar yang sungguh-sungguh. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Sungguh! Aku tak tahu bila lagi aku boleh ketemu dengan mereka. Aku juga nak ambil kesempatan untuk merehatkan jasad dan minda di kampung. Di sini segalanya tenang. Sawah padi dan bendang saja yang kurang.

Sebenarnya atok aku sudah lama menghidap penyakit lelah dan beberapa cebis penyakit yang lain. Keadaannya juga agak kritikal pada masa-masa tertentu. Waktu puncak. Aku sangat simpati dan empati. Aku cuba sedaya upaya membantu yang termampu. Kalau boleh nak tengok atok kembali tersenyum lebar. Seperti dulu-dulu. Membuat jenaka yang bersahaja. Menghambat ayam-ayam ke reban. Mengait rambutan di dusun. Itu sahaja.

Aku sebenarnya dibesarkan oleh mereka. Sedari kecil. Lebih kurang enam tahun lamanya. Jadi tak hairanlah chemistry antara kami sangat kuat. Sehinggakan aku menggelar nenek sebagai 'mok'. Sementelah itu, kepulangan aku kali ini diselitkan dengan niat ingin berbuka bersama. Tak hairanlah. Di sini lauk-pauknya tidak seberapa. Cuma lauk kampung. Cuma ulam kampung. Air batu kekadang tiada. Tapi aku suka. Ntah kenapa. Aku menyeru korang untuk mengambil kesempatan yang sama. Pulanglah...

Selamat menyambut Hari Nuzul Quran kepada semua umat Islam. Hari di mana Quran diturunkan. Jadi marilah sama-sama kita menghayatinya. Memperbanyakkan bacaan Quran. InsyaAllah. Renung-renungkan dan selamat beramal...

P/s : Mok dalam loghat Pekan (iaitu salah sebuah daerah dalam Pahang) membawa maksud mak. Jangan buat pandir. Korang jangan ingat momok pulak. Nanti aku karate tengkuk sorang-sorang. Baru tahu. Aku tengah emosi ni...

Thursday, September 11, 2008

Selamat menjilat

Hari ini 11 Ramadhan 1429. Lagi 19 hari nak raya. Suka lah tu? Tak kisah. Janji puasa cukup...

Hari ini cuaca mendung-mendung saja. Ntah. Seperasan aku sepanjang Ramadhan ini cuaca agak mendung dan kekadang hujan. Tak boleh nak duga. Berkat Ramadhan agaknya. Tapi hari Jumaat tetap panas terik terutamanya bila nak solat Jumaat. Betul tak kawan-kawan?

Hari ini aku akan berbuka dengan lauk-pauk yang tak kurang mantapnya. Ikan keli yang dulunya aku geli nak makan masak pedas, udang goreng begitu sahaja, sayur sawi layu kekuningan masak air dan air wap. Amacam. Ada berani? Masak sendiri lagi. Segar dari ladang. Maklum sajalah bajet ciput. Aku kopak. Takpe. Janji perut diisi. Syukur.

Waktu berbuka semakin hampir. Tak sabar rasa hati. Selamat berbuka puasa. Selamat penuh mulut. Selamat menjilat.

"Jilat! jilat! Mari semua menjilat. Jilat! jilat! Jilat sampai berkilat..."
Petikan lagu 'Mari Nyanyi Menjilat' oleh Carburator Dung.

P/s : Jilat merujuk kepada perbuatan mengeluarkan lidah dengan setting nafsu yang tidak berlebihan untuk menikmati juadah yang disediakan dan mengelakkan pembaziran (sebagai contoh, menjilat kuah yang mengalir ke siku ketika asyik mencekik). Itu saja. Jangan pikir yang bukan-bukan. Ini bulan puasa. Bulan mulia.

Antara dua hati...

En. Ahmad Khariri namanya. Aku pun tak pasti macam mana mamat ni boleh terbuka hati untuk memberi ceramah kat sekolah aku. Ceramah pasal penyakit bengkak hati. Memang bengkak hati aku dengar. Nak datang ceramah hari Sabtu. Tak pasal-pasal kena dengar orang membebel pada hari Sabtu. Rupa-rupanya mamat ni salah seorang penderma hati. Baru aku tahu.

Rupa-rupanya juga. Beliau adalah penderma hati ketiga di Malaysia. Beliaulah yang bermurah hati telah menderma secebis hatinya kepada Allahyarham adik Ahmad Yohitt pada tahun 2004. Wah..!!! Kecur liur aku mendengarnya. Rasa kagum mula menghantuiku. Begitu tinggi nilai budinya, begitu luhur pengorbanannya sehingga sanggup mempertaruhkan nyawanya sendiri. Untuk apa? Untuk menyelamatkan satu jiwa. Jiwa yang beliau sendiri tidak pernah kenal. Tiada hubungan persaudaraan mahupun kepentingan.

Mula-mula beliau berdiri untuk memulakan ceramah aku terus buat andaian. Nampak macam orang yang serius. Mesti boring ni. Beliau memulakan ceramah dengan memasang video mengenai adik Yohitt. Sedutan dari edisi siasat. Apa kejadah semuanya ini? Kena background lagu Pelangi Petang. Sudirman nyanyi. Memang syahdu. Apa lagi ramai yang tewas. Berjejesan air mata. Aku masih bertahan. Tapi hampir-hampir. Memang besar penderitaan yang ditanggung oleh mereka.

Lepas tu beliau mulakan cerita. Dari sindrom mata kuning dan perut buncit hinggalah kepada kos pembedahan RM 275,000. Semuanya dicerakinkan satu-satu. Penceritaan turut disulami dengan lawak jenaka. Memang sungguh jenaka. Memang sempoi. Mengalahkan Cek Mat Poi (CMP yo...!!). Rupanya beliau ni sangat kelakar. Dari situlah aku tahu bahawa beliaulah empunya suara bagi watak kartun Sunyo (bespren Giant dalam siri Doraemon), atok (Dragon Ball), kapten (Ultraman) dan suara budak kecik dan Donald Duck yang disiarkan dalam radio Era. Amacam? Siap bagi dengar live lagi.

Tapi yang kesiannya sampai ke hari ini beliau masih menanggung penderitaan. Komplikasi sampingan kesan pemindahan hati. Bulan-bulan kena spare RM 800 plus minus untuk rawatan susulan. Tanggung sendiri lagi. Siap tak boleh ke hospital kerajaan lagi. Sudah menjadi akta katanya. Akta untuk melindungi Kementerian Kesihatan daripada menanggung risiko sebelum, semasa dan selepas pembedahan. Akta sengal siapa yang ajar begini? Kalau begini, habis bertempiaran lari penderma hati. Siapa yang merana? Lu pikir la sendiri....

P/s : Aku menggunakan kata ganti diri beliau untuk En. Khariri sebab aku sangat mengagumi dan menghormatinya. Suspek gila. Aku tak sangka ada orang macam ni kat Malaysia. Sungguh berhati mulia. Ditambah pula dengan bakat terpendam beliau itu. Suara Sunyo paling aku suka. Serius. Bikin aku ketagih.

Monday, September 8, 2008

Pasangan bahagia

On the way aku nak pergi ke sekolah untuk solat terawih. Aku naik motor. Aku terserempak dengan sepasang suami isteri menaiki kapcai lama. Standard umur level pakcik makcik. Pasangan bahagia.

Tapi banyak yang tak sedap dilihat. Kapcai dah lah barai. Bagai retak menanti belah. Memang tak boleh blah. Lampu dan signal tak pernah ada. Aku follow dari belakang agak rapat. Malam hitam pekat. Sepekat kopi cap kapal api. Memang betul-betul kaw. Bila dah cucuk rapat aku terkejut besar. Apa tidaknya? Makcik yang monggek di belakang sedang memikul dua batang kayu panjang. Di hujungnya terdapat besi tajam. Menghunus ke arah aku. Bisa merobek dada jika tersilap langkah. Robek hatiku. Mahu terbarai isi perut kalau terkena.

Sekali pandang nampak macam lembing. Ngeri habis. Aku kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab mereka. Membahayakan nyawa orang lain. Nyawa aku. Kemudian aku membuat kira-kira. Berapa ramaikah penduduk kampung yang terkorban sepanjang perjalanan mereka untuk sampai ke rumah? Tunggu sajalah Buletin Utama jam lapan malam esok.

P/s : Monggek dalam kamus dewan edisi Kelantan bermaksud membonceng. Aku tertanya-tanya kemana agaknya lokasi yang dituju pasangan bahagia itu. Malam buta bawak senjata. Nak merampok agaknya?? Dah kena sampuk lah tu. Sah...

Sunday, September 7, 2008

Sahur yang suram

Sahur pagi tadi merupakan sahur yang paling suram setelah aku berjaya bangkit selama tujuh hari. Sahur ketujuh yang suram. Jam talipon aku berbunyi. Aku terjaga tepat jam lima pagi. Tapi nak buka mata sikit punya susah. Rasa macam dah kena gam gajah. Aku gagahkan diri bangun. Terus kejutkan mak aku. Pastu slumber je aku landing balik atas katil.

Tup...tup...adik aku datang kejut. Jarum jam dan minit sudah menunjukkan angka lima dan tiga. Maknanya aku dah tertidur selama lima belas minit. Apa lagi bingkas aku bangun. Cuci muka dan terus berlari-lari anak ke arah meja makan. Aku pandang nasik. Nasik pandang aku. Memang tak boleh blah. Biasanya aku steady je sumbat empat lima suap nasik. Tapi ntah kenapa aku rasa cam mual gila. Koma gila. Aku ni memang jenis yang tak reti makan nasik masa sahur sebenarnya. Biar lauk mantap macam mana sekalipun. Aku pandang sebelah mata je. Bila dah tintong, selera pun hilang.

Walhal sahur tadi lauk sikit punya baik. Udang masak pedas, terung masak pedas, ikan goreng talapia, tembikai cicah sambal ikan bilis dan milo panas. Tapi tetap tak boleh masuk. Sempat satu dua suap aku dah give up. Tak makan takut lapar. Jadi aku beralih arah. Kentang goreng dan sosej menjadi pilihan. Boleh blah sket. Tapi standard alas perut je la. Aku tak tahu sampai bila boleh bertahan. Tunggu dan lihat apa reaksi perut aku nanti.

P/s : Sebenarnya malam tadi aku tidur jam dua lebih. Ralit sangat surf internet. Aku rasa itulah punca kenapa aku rasa lesu semacam. Tapi sampai jam dua ni perut aku masih steady. Syukur.

Friday, September 5, 2008

Sweet September...

Semalam adalah hari keramat bagi aku. Semalam yang hangat. Tepat jam 12 tengah malam 4 September 2008. Genap aku berumur 25 tahun. Maknanya sudah 25 tahun aku melata di bumi Tuhan ini. Alhamdulillah. Aku bersyukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan oleh Al-Khaliq untuk terus hidup sebagai khalifah muka bumi.

Tiada apa yang menarik berlaku sepanjang hari. Melainkan menerima mesej-mesej hari jadi di talipon, mengapprove komen-komen bergambar yang turut berbaur hari jadi di friendster dan sekeping kad hari jadi buatan sendiri oleh pelajar. Tiada kek coklat berkrim disukai ramai, lilin usia membakar diri dan hadiah berbalut kertas licin berkilat mahupun nyanyian lagu Selamat Hari Jadi kedengaran berkumandang. Namun aku tetap gembira seadanya. Kerana masih diingati dan dihargai oleh sanak saudara, rakan taulan dan orang sekelilingku.

Apa yang menarik perhatianku adalah kad hari jadi buatan sendiri yang telah dihadiahkan oleh pelajar. Ianya kecil, mantap dan lebih terampil. Walaupun ia dibuat hanya daripada sekeping kertas A4. Kesungguhan dan keikhlasan jelas terpancul pada kad tersebut. Juga pada riak wajah mereka ketika menghulurkannya kepada aku selepas waktu sekolah. Siap kaler pink dan beropol-ropol lagi. Aku ingin berkongsi mengenai isi kandungan kad tersebut. Yang pasti tiada prakata di dalamnya. Begini bunyinya...

Selamat Hari Ulang Tahun yang ke-25.
Kami ingin memohon maaf jikalau ada salah silap, terkasar bahasa dan tingkah laku kami selama ini.

Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki.

Semoga bahagia di samping keluarga yang tersayang.

Semoga berjumpa dengan gadis Melayu terakhir.

Kalau dah kahwin, moga-moga dapat baby yang comel macam kami.

Ikhlas dari anak muridmu...

Kah kah kah. Aku tergelak besar membacanya. Manakan tidak. Pelajar ku ini sudah pandai menyindir sinis cikgu mereka. Menyelam sambil minum air kata mereka lagi. Sah aku terkena. Aku dihimpit rasa bingung yang amat. Bagaimana mereka ini sudah pandai membuat lawak A R Tompel di era Islam Hadhari ini? Tidak pernah pula aku mengajar teknik-teknik membuat lawak spontan di dalam kelas. Seingat aku. Dasar lawak siapa yang ajar begini? Aku redha. Baik buruk mereka tetap anak muridku.

Di sini aku ingin merakamkan terima kasih yang tak terhingga kepada kalian berempat dan orang persendirian yang sudi menghamburkan kata-kata keramat 'Selamat Hari Jadi'. Akan aku kenang sampai mati. Aku doakan kalian beroleh kejayaan dunia akhirat. Amin. Asal tetiba aku emosi plak ni? Sentimental betul.

P/s : Tapi sudah ada teman seperjuangan yang sudi dan berkenan mencemar duli untuk belanja aku di maktab kelak. Tak sabar rasanya. Siapakah gerangan berhati mulia itu? Lu pikir la sendiri...

Merdeka dan Salam Ramadhan

Sudah agak terlewat untuk menyampaikan Salam Merdeka dan Salam Ramadhan. Aku tahu. Tapi aku tak peduli apa orang cakap. Aku tetap nak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-51 dan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada seluruh rakyat Malaysia.

It's better late than never right? Pergh. Memang solid.

Diharapkan agar Hari Kemerdekaan tahun ini akan menjadi lebih bermakna. Sekaligus dapat membenihkan semangat patriotik terhadap negara. Aku sayang Malaysia. Bumi tanah tumpah darahku. Darah nenek moyangku. Aku bangga jadi anak Malaysia.

Aku juga berharap agar Ramadhan tahun ini bukanlah Ramadhan yang terakhir buatku. Semoga kita dapat meningkatkan amal ibadat dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Bulan di mana 'syaitonirrajim' dibelenggu. Bulan di mana pahala dilipatgandakan bagi setiap amalan. Bulan di mana KFC dan McD tiada berguna lagi. Jadi marilah sama-sama kita berusaha mendapatkannya. Yang bulat tak datang bergolek. Yang pipih tak datang melayang. Pergh. Mantap. Sekali lagi.

P/s : Tahun ni aku tak sambut merdeka pun. Rugi tak dapat tengok bunga api. Walhal aku berada di KL malam 31 Ogos. Kenapa ek? Tak terbuka hati. Lagipun aku lebih suka menyelami erti kemerdekaan yang sebenar daripada berpesta ke pagi buta tanpa mengetahui apa-apa.