Friday, October 31, 2008

Ju-ma-at

Setiap kali Jumaat. Solat Jumaat. Spesifiknya. Aku akan teringat tentang satu perkara. Perkara yang berlaku di depan mata.

Pada hemat aku. Masalah ini sering berlaku di semua tempat. Tak kira di kota besar mahupun nun ceruk pedalaman sana. Mengapa? Kerna mentaliti orang kita hampir sama. Tidak berubah. Masalah yang aku maksudkan adalah saf yang renggang ketika mendirikan solat jemaah.

Pada perkiraan aku juga. Masalah ini sebenarnya telah menimbulkan suatu bahana yang lebih dasyat. Solat yang didirikan akan menjadi kurang penghayatan atau lebih familiar digelar khusyu'. Tersurat. Lahirnya generasi yang tamak dan mementingkan diri. Tersirat. Bagaimana ia terjadi?

Apabila saf renggang. Merujuk kepada kaki dan bahu yang tidak bersentuhan. Maka setan akan berleluasa membuat onar. Khusyu' tergadai. Apabila saf renggang juga. Dalam konteks sengaja dilakukan. Dengan niat untuk mendapat sedikit ruang apabila berada dalam posisi tahiyyat akhir. Senario ini akan memupuk suatu sifat yang cukup naif lagi daif. Tamak haloba dan selfish.

Sifat tersebut menjadikan kita tidak memikirkan tentang keperluan orang lain. Mungkin dengan merapatkan saf orang lain dapat solat di ruang jemaah utama. Lebih jauh lagi. Hubungan silaturrahim sesama kita akan menjadi utuh. Mungkin juga. Namun dek sifat 'bagai anjing dengan bayang-bayang'. Maka kerukunan masyarakat terabai.

Renung-renungkan dan selamat beramal...*sebut bait-baitnya dalam slanga Terengganu

P/s : Sebenarnya masalah ni berlaku bukan saja pada 'penghulu segala hari'. Setiap kali solat jemaah. Pendek kata. Cuma pada gua benda ni lebih sinonim dengan solat Jumaat. Sebabnya? Gua jarang-jarang solat jemaah kat masjid. Semayang solo memang tabiat gua. Tapi solat Jumaat gua tak miss brader!

Wednesday, October 29, 2008

Budaya malaun

Raya kian menghilang. Namun aku masih ingin berbicara soal raya. Apa mau peduli? Raya kan sebulan.

Aku ingin berbicara soal budaya yang telah lama muncul dan berakar umbi dalam masyarakat kita hari ini. Budaya biasa yang bisa mengancam suatu budaya yang lain. Budaya yang aku maksudkan adalah budaya melangok di depan tv dan budaya obsesi terhadap hanpon. Di hari mulia.

Kita sering dihidangkan dengan rancangan-rancangan yang menggiurkan. Tatkala raya menjelma. Raya pertama. Rancangan yang paling mantap disajikan. Raya kedua. Rancangan kedua mantap disediakan. Begitulah seterusnya. Mengikut urutan hierarki kemeriahan raya. Apa kejadah semuanya ini? Apakah kita disogok untuk menyertai rancangan 'Mari mengira bersama cikgu Maimon'? Har har har. Memang menjengkelkan.

Semua stesen tv seolah-olah berebut-rebut menayangkan rancangan terbaik. Baik stesen tv kepunyaan kerajaan, swasta mahupun stesen tv berbayar. Baik RTM, Media Prima mahupun Astro. Baik Shabery Cheek, Farid Ridzwan mahupun Ananda Krishnan. Enough. Manakah perginya tanggungjawab sosial terhadap masyarakat? Yang diutamakan hanyalah profit. Semata-mata.

Budaya songsang yang tidak kurang hebatnya menjerut leher adalah obsesi hanpon. Kini. Anak-anak muda lebih berahi bersms dan bergayut. Daripada bersua muka. Daripada bertentang mata. Tidak kira waktu dan tempat. Di malam raya mahupun di pagi raya. Di masjid mahupun di rumah. Pada hemat mereka. Cara ini lebih urban dan cool. Cool kepala hanggok dia. Budaya inilah yang menjadikan kita semakin sombong dan mementingkan diri.

Kedua-dua budaya ini telah mengkakis suatu budaya yang sangat mulia lagi dituntut. Budaya kunjung-mengunjung. Budaya beramah mesra bersama kaum keluarga. Budaya interaksi langsung antara manusia dengan manusia. Semuanya. Kian dipinggirkan oleh anak-anak muda. Dasar budaya malaun.

Footnote : Gua hanpon memang tak berapa nak layan. Tak kira musim raya atau hari-hari biasa. Takde feel. Tapi tv tu kadang-kadang gua tak boleh tahan gak beb. Gua selalu je goyang bila ada rancangan-rancangan yang mantap dan molek!! Ishk.

Footnote lagi : Gua memang dah ke bulan nih! Punyalah gembira. Rasa dah tak berpijak di bumi nyata. Akhirnya ego Chelsea berkubur. Lebur bersama rekod tanpa kalah sebanyak 86 kali di Stamford Bridge. Siapa punya angkara? Liverpool bai. Gua cakap sama lu...

Thursday, October 23, 2008

Panahan asmaradana

Beberapa bulan yang lalu. Sejak aku menjadi blogger tegar...

Aku dah takde feel nak layan rancangan kat tv. Melainkan bola dan berita. Aku dah takde nafsu nak main bola petang-petang. Walhal dulu-dulu tak boleh miss. Aku juga dah takde rentak nak tidur awal. Sedangkan dahulunya sebelum jam dua belas dah melepek atas katil. Aku sering ralit sehingga terlajak membawa ke pukul satu pagi atau lebih. Kini segalanya berubah.

Arakian, sebelum aku bercuti sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang dan Deepavali. Kamu juga. Ada persoalan yang ingin aku ajukan.

Adakah itu suatu yang normal? Atau aku saja yang mengalaminya? Tolong jawab brader.

P/s : Amacam geliga tak otak gua? Meninggalkan lu orang dengan satu persoalan yang begitu bersahaja tetapi mendalam maknanya. Petang ni gua dah gerak balik kampung. Gua tunggu beb jawapan lu...

Tuesday, October 21, 2008

Buka rumah

Sebelum keluar kelas. Aku mengajak budak-budak untuk beraya ke rumah. Sementelah aku tidak ke mana pada hujung minggu. Budak-budak cuma memberi reaksi yang bersahaja. Lantak. Yang penting aku dah pelawa mereka.

Aku menggunakan teori bahawa setiap pelajar teruja untuk datang ke rumah guru. Mereka berhak. Lebih-lebih lagi guru kesayangan mereka. Jadi peluang ini hanya terbuka setahun sekali. Ketika raya menjelma.

Bagaimana aku boleh menduga? Ini berdasarkan pengalaman aku sendiri. Aku masa muda-muda dulu teringin benar untuk menjejakkan kaki ke rumah guru. Nak pergi pada hari biasa. Takut dilabel sebagai pailang. Iaitu terma yang sering dilemparkan kepada orang yang gila pangkat. Apa cerita? Aku yang tiada niat apa-apa pun jadi goyang beb!

Makanya aku tak mahu budak-budak aku mengalami situasi yang sama. Jadi aku jemput mereka dengan hati yang terbuka. Secara rasmi. Lebih formal. Dengan harapan agar mereka tidak keberatan untuk bertandang. Aku memberi sedikit panduan. Datanglah hari Sabtu. Selepas Zohor. Baru aku bersedia.

Tup tup. Mereka datang hari Jumaat petang. Apa kes? Tidak bertindak mengikut arahan betul lah mereka ni. Bertindak mengikut nafsu. Aku tidak bersedia langsung. Dekat juga sepuluh orang yang datang. Aku tak kisah. Aku layankan. Tapi hidangan cuma ala kadar. Jadi aku menyuruh mereka kembali semula keesokan harinya. Sebagai ganti.

Keesokannya. Mereka serbu rumah aku untuk second round. Sebab aku dah janji nak masak juadah yang enak-enak. Haram. Last-last aku goreng fries dan nugget saja. Pekena plak dengan air gas. Pantang letak. Licin. Memangla budak-budak laki ni. Gelojoh.

P/s : Apa cerita bai Liverpool menang lagi? Macam biasa la buat come back setelah ketinggalan dua kali. Sepanjang tempoh perlawanan. Gua memang kena serangan coronary heart disease. Rasa macam nak meletup je jantung gua!! Takpe. Janji menang...

Monday, October 20, 2008

Bila agaknya aku boleh tarik rambut kerinting Rossi?


Litar Sepang hanya akan menganjurkan Moto GP sampai tahun depan saja. Itu yang member aku cakap. Maksud dia Litar Sepang hanya ada kontrak selama setahun saja lagi.

Nama member aku ni Zizol. Mat-mat Kelantan panggil dia Jijoe. Mamat nilah yang bertanggungjawab menghidupkan semangat Moto GP dalam diri aku. Memang bara semacam hati aku bila sebut pasal Moto GP.

Aduh. Jantung aku berdegup dah lain macam. Aku mula cuak. Dah la aku tak pernah jejak kaki kat sana. Walhal aku teringin benar nak melihat aksi bersahaja Valentino Rossi memotong di selekoh tajam. Sambil melakukan aksi corner baring di atas litar. Sambil mengasah pad lutunya itu.

Maklumlah aku peminat nombor satu pemegang nombor keramat 46 tu. Paling tidak dapat berbalas senyuman dengan Rossi ketika upacara penyampaian trofi. Jadilah. Paling tidak juga dapat aku menyambut kasut atau helmet racing kepunyaannya yang dicampak ke bawah dari podium.

Sebenarnya pakcik aku yang bekerja di KL ada offer tiket. Tapi memandangkan aku tengah kopak. Jadi terpaksalah aku membatalkan niat untuk melihat kelibat Casey Stoner, Nicky Hayden, Danny Pedrosa, Jorge Lorenzo dan yang paling penting kelibat 'The Doctor'.

Nasib baik aku boleh tengok live kat channel ESPN. Terubat juga duka. Hilang juga rasa panas di hati. Nasib baik juga Rossi menang bergaya di tempat pertama. Jadilah. Itu pun sudah memadai buat aku.

P/s : Gua dengar berita kontrak Litar Sepang dilanjutkan sehingga 2010. Nasib baik. Makanya gua ada lagi dua tahun untuk mengumpul dana bagi memastikan misi gua berjaya. Akan gua mulakan tabiat mari menabung dan memegang prinsip 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit'. Bermula dari sekarang!!

Friday, October 17, 2008

Terkedu

"Banyak dapat duit raya?", aku memulakan pertanyaan.
"Banyak...RM148!!", jawabnya bersungguh-sungguh.
"Wah...banyak tuh!! Buat apa ngan duit tu?", tanya aku lagi.
"Simpan kat bank..."
"Baguslah. Nanti boleh beli benda yang adik suka", nasihat aku pula.
"Saya nak beli kete", balasnya sambil menunjukkan riak wajah yang serius.
"Kete control eh?"
"Taklah. Kete untuk ayah", jawabnya sambil melemparkan senyuman manis.

Pergh.Terkedu aku mendengarnya. Budak yang baru berumur 9 tahun sudah mempunyai hasrat yang begitu murni. Hasrat untuk meringankan beban ayah, ibu dan keluarganya. Aku cukup kagum dan terharu dengan semangat yang ditunjukkan olehnya.

Nama budak tu Alif Qayyum. Sebenarnya Alif ni anak kepada salah seorang pekerja am kat sekolah aku. Keluarga dia memang cukup sederhana. Sementelah, ayahnya cuma mempunya motor sebagai kenderaan utama. Jadi, Alif berhasrat untuk menghadiahkan sebuah kereta buat ayahnya.

Aku kagum. Sangat-sangat kagum.

P/s : Sejak dari hari tu gua mula kamcing ngan budak tu. Kebetulan, dia ni minat sangat main bola. Dan gua pula cikgu bola. So, memang cocok dan molek. Akan gua pimpin budak ni menjadi seorang penyerang yang berbisa kelak!! Paling tidak dapat menyarung jersi Felda United...

Wednesday, October 15, 2008

Hitamkeluar

Minggu lepas. Hari Khamis. Jam lima petang. Kipas siling berpusing dengan tahap kelajuan tiga. Sedang-sedang molek. Cuaca sikit punya baik. Aku tengah asyik tidur di atas tilam dan bantal yang empuk.

Tiba-tiba kipas siling berhenti. Aku terus terjaga dari lena. Panas agaknya. Aku dah tak sedap hati. Ini mesti blackout. Aku terus bangkit. Dah tak selera nak sambung tidur.

Aku ingat situasi begini akan berlarutan sekejap saja. Seperti sebelum-sebelum ini. Tunggu punya tunggu. Sampai membawa ke malam. Nasib baik ada backup lilin dua batang. Berpanas dan bergelaplah aku. Segala aktiviti rutin terpaksa ditangguhkan.

Jam tangan dah menunjukkan pukul sembilan. Aku dah tak tahan. Makan malam di kedai makanlah nampaknya. Sesampainya di sana. Aku ingat bolehlah makan sambil melihat wajah-wajah penduduk kampung. Apa cerita? Muka sendiri pun tak boleh nampak!! Kot-kot ada generator ke apa ke. Haram. Bergelap jugalah nampaknya. Tak pasal-pasal candle light dinner.

Sepanjang tempoh mencekik. Aku hanya ditemani sebatang lilin. Memang nostalgik lagi tragik. Aku ingat macam tulah keadaannya nenek moyang kita dulu. Bergelap sepanjang masa. Tup tup. Pukul sebelas malam baru pulih. Apa lagi. Akulah orang yang paling gembira ketika itu.

Barulah aku tahu keesokannya. Rupa-rupanya blackout selama lebih enam jam itu melibatkan banyak kawasan. Bukan tempat aku saja. Jadi pengalaman ini dikongsi oleh ribuan penduduk. Bagus juga. Biar ramai yang sedar kepentingan menghargai nikmat.

P/s : Start dari hari tu gua dah mula menunjukkan tanda-tanda untuk insaf. Dah. Gua tak nak membazir elektrik lagi. Barulah gua rasa betapa sengsaranya hidup dalam kegelapan. Barulah gua dapat menyelami penderitaan peserta-peserta rancangan 'Bersamamu'.

Monday, October 13, 2008

Penilaian

Penilaian dan nilai. Dua aspek yang saling berkait rapat. Pendek kata. Kita sering dinilai.

Ada penilaian yang baik. Ada penilaian yang buruk. Ada juga penilaian yang ntah apa-apa. Ada penilaian antara Tuhan dan manusia. Ada penilaian antara manusia dan manusia. Ada juga penilaian antara manusia dan alam semesta.

Namun apa yang pasti. Hari ini adalah hari yang bersejarah buat sekelompok manusia.

Hari ini adalah hari Penilaian Menengah Rendah (PMR). Jadi aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menduduki peperiksaan dan selamat maju jaya kepada semua pelajar tingkatan tiga seluruh negara. Amnya.

Buat pelajar tingkatan tiga sekolah aku. Khususnya. Aku doakan kalian beroleh kejayaan kelak. Aku yakin mereka mampu untuk melakukan sesuatu. Aku berharap mereka dapat menjawab peperiksaan dengan hati dan jiwa yang tenang.

Kejayaan pasti menanti anda...

P/s : Sebenarnya budak-budak gua rilek dan cool jep. Gua dan cikgu-cikgu plak yang cuak lebih-lebih!! Sampai memulas-mulas perut dibuatnya. Ntah lah labu...

Wednesday, October 8, 2008

Aku pasrah

Malam semalam. Lepas Isyak. Aku bersedia untuk ke sekolah.

Nak mengajar budak tingkatan 3. Mata pelajaran Ilmu Hisab. Mereka sangat-sangat lemah subjek ni. PMR dah dekat. Tu yang aku kecewa. Tapi aku tetap nak membantu mereka. Sementelah, aku guru Ilmu Hisab mereka. Maka, kelas tambahan lah nampaknya.

Sebelum keluar rumah. Aku seperti biasa, mengalih saluran tv. Sekali alih. Tv3 menayangkan cerita Dunia Baru the movie. Dua kali alih. Astro Ria menayangkan cerita Cuci. Pergh!! Memang kecur liur dibuatnya. Aku memang dah lama mengidam nak tengok cerita-cerita tu. Masa tu tangan aku dah menggeletar pegang remote. Tak semena-mena.

Aku serba salah. Antara cerita kegemaranku atau pelajar-pelajarku? Aku dengan selamba membuat keputusan. Keputusan yang bertentangan dengan kehendak diriku. Aku memilih pelajar-pelajarku.

Aku pasrah...

P/s : Amacam...gua ada tokoh tak untuk membolot Anugerah Guru Cemerlang 2008?

Tuesday, October 7, 2008

Kagum

Keputusan muktamad. Manchester City 2 - 3 Liverpool.

"Alah menang nasib jer...!!", kata Mark Hughes.
"Tau takpe!! Gua saja je main tak bagus, nak bagi chance kat depa...", tambah Robinho lagi sebagai tanda bersetuju dengan pengurusnya itu.

Apa barang menang nasib. The Reds main sikit punya smart. Siap kena titik 2-0 separuh masa. Masuk separuh masa kedua, terus bangkit. Torres sumbat dua gol. Kuyt skor sebijik. Gol kemenangan.

Aku kagum. Kagum seperti ketika Liverpool menang Champions League. Menewaskan AC Milan. Walaupun sudah ketinggalan tiga gol ketika separuh masa. Kemudian bangkit mendadak. Bangkit menggila. Teringat nostalgia manis...

P/s : Chelsea, Arsenal dan Man U. Lu orang jaga-jaga. Tahun ni The Reds nak rembat title juara liga tuh!! Hull City apa cerita? Gua rasa tak lama tuh...