Tuesday, September 30, 2008

Dam dam dum

Hari ini 30 Ramadhan. Esok Aidilitri menjelang tiba. Esok umat Islam bergembira. Yeah...yeah...esok raya!!

Tengah aku asyik melepak. Tiba-tiba kedengaran, "kaboom...!!". Terkejut beruk aku. Lalu aku teringat... "Dam dam dum bunyi mercun, kanak-kanak segera datang berduyun. Dam dam dum mercun berdentum, semaraklah hari raya ini tahun". Sedutan lagu 'Selamat Hari Raya' oleh Saloma.

Pesanan aku. Jangan main mercun di malam hari. Aku nak tido. Orang lain nak tido. Nanti putus jari. Nanti putus kaki. Nanti putus hati. Itu yang pasti. Kalau nak bakar mercun juga. Silalah tunggu di kala hening subuh. Dialu-alukan.

Di samping kita bergembira. Jangan dilupakan yang tiada. Dalam perjalanan pulang ke kampung. Dalam perjalanan ke destinasi yang dituju. Berhati-hati di jalan raya. Semoga selamat sampai. Semoga bertemu yang tersayang.

Aku gembira. Aku syahdu. Gembira kerana bakal merayakan kemenangan melawan nafsu selama sebulan. Syahdu kerana bakal meninggalkan bulan mulia yang belum pasti aku ketemu lagi.

Di kesempatan ini aku ingin mengucapkan. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin...

P/s : "Dam dam dum...bunyi mercun...". Ei mana ada mercun bunyi macam tu daa!! Tapi lagu ni memang aku suka. Nostalgia dan meriah. Teringat zaman kanak-kanak.

Monday, September 29, 2008

Segalanya sempurna?

Di suatu malam Ramadhan. Macam biasa. Aku ke surau untuk menunaikan solat Isyak berjemaah. Beserta solat sunat terawih. Lokasi. Surau Sg. Isap Perdana.

Sesampainya aku di sana. Aku kagum melihatkan kesungguhan ahli jemaah surau. Terutama kaum hawa. Walaupun ketika tok bilal sudah melafazkan iqamah. Mereka masih tekun membasuh pinggan mangkuk, periuk belanga, cawan gelas dan sudu garpu. Aku hairan. Mengapa mereka begitu bersahaja. Seolah-olah tidak mengendahkan solat Isyak yang bakal didirikan. Tidak takutkah mereka dipanah petir kelak?

Aku cuba mengerti. Pasti mereka 'cuti'. Aku bersangka baik. Aku mengandaikan surau itu telah mengadakan majlis berbuka puasa. Setelah aku amati. Aku pasti. Jadi tidak hairanlah mereka bertungkus-lumus mengemas segala peralatan.

Di suatu sudut. Terdapat selonggok pakaian terpakai yang telah dikumpulkan. Untuk didermakan kepada insan yang memerlukan. Insan yang menginginkan. Insan yang mengharapkan. Sungguh prihatin. Aku mengagumi usaha dan semangat mereka.

Malam itu. Segalanya sempurna. Aku dapat melihat kesungguhan manusia membantu manusia. Kesungguhan manusia menyelesaikan tugasan mereka. Juga kehadiran jemaah yang ramai dalam menghayati bulan mulia. Aku gembira.

Tetapi kemeriahan malam itu sedikit tercemar. Tercemar dek peristiwa bakal kehilangan selipar. Tercemar dek kekecohan suara kanak-kanak yang terbiar. Tercemar dek bunyi pekik lolong mercun yang liar. Apakah patut dibiar...?

P/s : Tapi aku tak sempat terawih pon. Lepas Isyak aku terus balik. Nak tengok bola punya pasal. Hampeh!!

Thursday, September 25, 2008

Nyaris maut

Sekali lagi. Sekali lagi aku nyaris maut. Bukan nyaris maut ditimpa balak. Bukan juga nyaris maut digilis keretapi. Tetapi nyaris maut di atas jalan raya.

Aku macam biasa. Pergi terawih dengan kapcai buruk aku. Aku pon keluar simpang dari kuarters tempat aku menetap. Lepas lima puluh meter aku bergerak. Tak semena-mena. Ada dua buah motor meluncur laju. Meluncur secara beriringan. Sebelah menyebelah. Memang tak boleh blah. Sebuah tiada lampu. Sebuah lagi lampu malap. Memang cukup pakej. Pakej membunuh diri sendiri. Pakej menjerut nyawa pengguna lain.

Sebuah motor yang di sebelah kanan aku. Hampir-hampir merempuh aku dari arah bertentangan. Motor dia makan jalan. Nasib baik aku sempat mengelak. Kalau tidak arwah aku malam itu. Nasib baik juga umur aku panjang. Kalau tidak. Sudah tentu aku tak sempat beraya tahun ini. Kalau tidak juga. Sudah tentu kisah aku ini akan terpampang di dada-dada akhbar perdana pada keesokan harinya. Paling tidak masuk akhbar Sinar Harian. Akhbar Nan Yang Siang Pau? Tak mungkin.

Aku tergamam. Tak sempat berfikir panjang. Sebenarnya...

Nak aje aku hambat mat rempit tu. Nasib baik motor aku tak laju. Kalau tak slumber jep aku corner baring cecah side mirror depan dia. Biar koyak kain sembahyang aku. Biar koyak lutut aku. Janji aku puas hati. Memang menyirap.

P/s : Aku bermastautin di salah sabuah felda termahsyur di Pahang. Mahsyur dengan produk semulajadinya itu. Jadi tidak hairanlah mat rempit bermaharajalela. Kepalo hayah dio!! Aku marah ni.

Tuesday, September 23, 2008

Cream Puff


Di suatu petang yang renyai. Aku ke Param. Lagi-lagi Param. Aku tak peduli. Aku hanya ingin mencari kuih kegemaranku.

Manakan tidak. Segala juadah berbuka puasa sudah disediakan oleh mak. Segala macam. Jadi tiada apa yang perlu aku tambah lagi. Cuma aku dan kuih kegilaan aku. Itu saja yang aku mahu.

Di Param segalanya ada. Dari segala macam juadah hinggalah kepada segala macam manusia. Semua aku perhati. Semua aku tatapi. Semua aku amati. Namun masih belum berjumpa dengan si dia. Si dia kuih idaman hati.

Cari punya cari. Akhirnya ketemu jua. Aku gembira bukan kepalang tatkala melihat kelibatnya. Apa lagi ditunggu. Nah. Ambik kau. Aku nak bungkus sekilo. Huh. Tak dibuat orang. Aku terus tapau empat ringgit. Penuh plastik. Itulah penangan Cream Puff...

Namun aku sedikit kecewa. Kecewa kerana rupanya tidak seindah dulu. Bentuknya tidak segebu dulu. Saiznya tidak sebesar dulu. Harganya juga semakin mahal. Mungkin permintaan yang tinggi di bulan mulia. Pasti harga tepung sudah melambung. Lebih pasti harga minyak sudah melambung. Melambung tinggi yang tidak bisa disambut lagi.

Yang pelik. Yang jelik. Sementelah, kuih ini hanya dijual dengan sewenang-wenangnya pada bulan puasa. Mengapa ini terjadi? Tiadakah permintaan di bulan-bulan biasa? Aku hairan. Aku sasau. Sasau menantikan kemunculannya setahun sekali. Pedih. Memang pedih. Namun aku pasrah.

P/s : Param adalah singkatan bagi Pasar Ramadhan. Dalam erti kata yang lain, Param = Pasar Ramadhan. Jangan slow sangat. Tak pasal-pasal plak kang aku ngaja Ilmu Hisab kat sini. Persoalannya kini. Korang tau ke kuih Cream Puff ni?

Friday, September 19, 2008

Gembira kuasa dua

Aku gembira. Gembira kuasa dua. Apakan tidak. Baru saja pulang dari kampung tercinta.

Misi aku berjaya. Keinginan berbuka bersama ayah dan ibu kepada mak aku kini tertunai jua. Sempat aku berterawih di sana. Sempat aku bermalam di sana. Sempat aku bersahur di sana.

Menu berbuka. Seperti yang dijangka. Masih bersahaja. Tapi tetap berselera.

Gulai ayam, petai jeruk, jering dan sambal budu lada tumbuk. Gua cakap lu. Meleleh beb. Memang makruh (merujuk kepada petai dan jering). Tapi sedap. Air soya. Air tebu. Biasa saja. Kena air sirap selasih. Luar biasa. Sungguh menggiurkan. Kuih tepung pelita pelengkap hidangan jua.

Semuanya home made. Buatan sendiri.

Aku gembira. Gembira kuasa dua. Manakan tidak. Pasukan yang aku puja sejak darjah tiga telah berjaya.

Berjaya menewaskan Marseille di peringkat Eropah. Berjaya menewaskan MU di peringkat liga tempatan. Alasan demi alasan dilemparkan. Tiada setan untuk membantu di bulan Ramadhan. Dasar setan merah!!

Terngiang-ngiang tempikan 'You'll Never Walk Alone' berkumandang. Sungguh merdu alunannya...

P/s : Selasih adalah sejenis bahan yang dimasukkan ke dalam air minuman. Ianya kecil, mantap dan kenyal. Rupanya saling tak tumpah seperti telur katak. Sumpah. Air yang sering menjadi mangsa keadaan adalah sirap dan cikang. Aku suka.

Tuesday, September 16, 2008

Pulanglah

Esok cuti umum. Esok aku gembira. Esok aku balik kampung. Melawat atok dan nenek. Melawat sanak saudara. Melawat kucing dan ayam kampung beserta reban usangnya sekali. Sudah agak lama aku tak balik. Jadi aku teruja. Sangat-sangat teruja. Itu sudah pasti.

Atok dan nenek aku tak berapa sihat. Terutamanya atok. Jadi aku nak sangat berjumpa mereka. Bertanyakan khabar dan menziarahi mereka. Bertanyakan khabar yang sungguh-sungguh. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Sungguh! Aku tak tahu bila lagi aku boleh ketemu dengan mereka. Aku juga nak ambil kesempatan untuk merehatkan jasad dan minda di kampung. Di sini segalanya tenang. Sawah padi dan bendang saja yang kurang.

Sebenarnya atok aku sudah lama menghidap penyakit lelah dan beberapa cebis penyakit yang lain. Keadaannya juga agak kritikal pada masa-masa tertentu. Waktu puncak. Aku sangat simpati dan empati. Aku cuba sedaya upaya membantu yang termampu. Kalau boleh nak tengok atok kembali tersenyum lebar. Seperti dulu-dulu. Membuat jenaka yang bersahaja. Menghambat ayam-ayam ke reban. Mengait rambutan di dusun. Itu sahaja.

Aku sebenarnya dibesarkan oleh mereka. Sedari kecil. Lebih kurang enam tahun lamanya. Jadi tak hairanlah chemistry antara kami sangat kuat. Sehinggakan aku menggelar nenek sebagai 'mok'. Sementelah itu, kepulangan aku kali ini diselitkan dengan niat ingin berbuka bersama. Tak hairanlah. Di sini lauk-pauknya tidak seberapa. Cuma lauk kampung. Cuma ulam kampung. Air batu kekadang tiada. Tapi aku suka. Ntah kenapa. Aku menyeru korang untuk mengambil kesempatan yang sama. Pulanglah...

Selamat menyambut Hari Nuzul Quran kepada semua umat Islam. Hari di mana Quran diturunkan. Jadi marilah sama-sama kita menghayatinya. Memperbanyakkan bacaan Quran. InsyaAllah. Renung-renungkan dan selamat beramal...

P/s : Mok dalam loghat Pekan (iaitu salah sebuah daerah dalam Pahang) membawa maksud mak. Jangan buat pandir. Korang jangan ingat momok pulak. Nanti aku karate tengkuk sorang-sorang. Baru tahu. Aku tengah emosi ni...

Thursday, September 11, 2008

Selamat menjilat

Hari ini 11 Ramadhan 1429. Lagi 19 hari nak raya. Suka lah tu? Tak kisah. Janji puasa cukup...

Hari ini cuaca mendung-mendung saja. Ntah. Seperasan aku sepanjang Ramadhan ini cuaca agak mendung dan kekadang hujan. Tak boleh nak duga. Berkat Ramadhan agaknya. Tapi hari Jumaat tetap panas terik terutamanya bila nak solat Jumaat. Betul tak kawan-kawan?

Hari ini aku akan berbuka dengan lauk-pauk yang tak kurang mantapnya. Ikan keli yang dulunya aku geli nak makan masak pedas, udang goreng begitu sahaja, sayur sawi layu kekuningan masak air dan air wap. Amacam. Ada berani? Masak sendiri lagi. Segar dari ladang. Maklum sajalah bajet ciput. Aku kopak. Takpe. Janji perut diisi. Syukur.

Waktu berbuka semakin hampir. Tak sabar rasa hati. Selamat berbuka puasa. Selamat penuh mulut. Selamat menjilat.

"Jilat! jilat! Mari semua menjilat. Jilat! jilat! Jilat sampai berkilat..."
Petikan lagu 'Mari Nyanyi Menjilat' oleh Carburator Dung.

P/s : Jilat merujuk kepada perbuatan mengeluarkan lidah dengan setting nafsu yang tidak berlebihan untuk menikmati juadah yang disediakan dan mengelakkan pembaziran (sebagai contoh, menjilat kuah yang mengalir ke siku ketika asyik mencekik). Itu saja. Jangan pikir yang bukan-bukan. Ini bulan puasa. Bulan mulia.

Antara dua hati...

En. Ahmad Khariri namanya. Aku pun tak pasti macam mana mamat ni boleh terbuka hati untuk memberi ceramah kat sekolah aku. Ceramah pasal penyakit bengkak hati. Memang bengkak hati aku dengar. Nak datang ceramah hari Sabtu. Tak pasal-pasal kena dengar orang membebel pada hari Sabtu. Rupa-rupanya mamat ni salah seorang penderma hati. Baru aku tahu.

Rupa-rupanya juga. Beliau adalah penderma hati ketiga di Malaysia. Beliaulah yang bermurah hati telah menderma secebis hatinya kepada Allahyarham adik Ahmad Yohitt pada tahun 2004. Wah..!!! Kecur liur aku mendengarnya. Rasa kagum mula menghantuiku. Begitu tinggi nilai budinya, begitu luhur pengorbanannya sehingga sanggup mempertaruhkan nyawanya sendiri. Untuk apa? Untuk menyelamatkan satu jiwa. Jiwa yang beliau sendiri tidak pernah kenal. Tiada hubungan persaudaraan mahupun kepentingan.

Mula-mula beliau berdiri untuk memulakan ceramah aku terus buat andaian. Nampak macam orang yang serius. Mesti boring ni. Beliau memulakan ceramah dengan memasang video mengenai adik Yohitt. Sedutan dari edisi siasat. Apa kejadah semuanya ini? Kena background lagu Pelangi Petang. Sudirman nyanyi. Memang syahdu. Apa lagi ramai yang tewas. Berjejesan air mata. Aku masih bertahan. Tapi hampir-hampir. Memang besar penderitaan yang ditanggung oleh mereka.

Lepas tu beliau mulakan cerita. Dari sindrom mata kuning dan perut buncit hinggalah kepada kos pembedahan RM 275,000. Semuanya dicerakinkan satu-satu. Penceritaan turut disulami dengan lawak jenaka. Memang sungguh jenaka. Memang sempoi. Mengalahkan Cek Mat Poi (CMP yo...!!). Rupanya beliau ni sangat kelakar. Dari situlah aku tahu bahawa beliaulah empunya suara bagi watak kartun Sunyo (bespren Giant dalam siri Doraemon), atok (Dragon Ball), kapten (Ultraman) dan suara budak kecik dan Donald Duck yang disiarkan dalam radio Era. Amacam? Siap bagi dengar live lagi.

Tapi yang kesiannya sampai ke hari ini beliau masih menanggung penderitaan. Komplikasi sampingan kesan pemindahan hati. Bulan-bulan kena spare RM 800 plus minus untuk rawatan susulan. Tanggung sendiri lagi. Siap tak boleh ke hospital kerajaan lagi. Sudah menjadi akta katanya. Akta untuk melindungi Kementerian Kesihatan daripada menanggung risiko sebelum, semasa dan selepas pembedahan. Akta sengal siapa yang ajar begini? Kalau begini, habis bertempiaran lari penderma hati. Siapa yang merana? Lu pikir la sendiri....

P/s : Aku menggunakan kata ganti diri beliau untuk En. Khariri sebab aku sangat mengagumi dan menghormatinya. Suspek gila. Aku tak sangka ada orang macam ni kat Malaysia. Sungguh berhati mulia. Ditambah pula dengan bakat terpendam beliau itu. Suara Sunyo paling aku suka. Serius. Bikin aku ketagih.

Monday, September 8, 2008

Pasangan bahagia

On the way aku nak pergi ke sekolah untuk solat terawih. Aku naik motor. Aku terserempak dengan sepasang suami isteri menaiki kapcai lama. Standard umur level pakcik makcik. Pasangan bahagia.

Tapi banyak yang tak sedap dilihat. Kapcai dah lah barai. Bagai retak menanti belah. Memang tak boleh blah. Lampu dan signal tak pernah ada. Aku follow dari belakang agak rapat. Malam hitam pekat. Sepekat kopi cap kapal api. Memang betul-betul kaw. Bila dah cucuk rapat aku terkejut besar. Apa tidaknya? Makcik yang monggek di belakang sedang memikul dua batang kayu panjang. Di hujungnya terdapat besi tajam. Menghunus ke arah aku. Bisa merobek dada jika tersilap langkah. Robek hatiku. Mahu terbarai isi perut kalau terkena.

Sekali pandang nampak macam lembing. Ngeri habis. Aku kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab mereka. Membahayakan nyawa orang lain. Nyawa aku. Kemudian aku membuat kira-kira. Berapa ramaikah penduduk kampung yang terkorban sepanjang perjalanan mereka untuk sampai ke rumah? Tunggu sajalah Buletin Utama jam lapan malam esok.

P/s : Monggek dalam kamus dewan edisi Kelantan bermaksud membonceng. Aku tertanya-tanya kemana agaknya lokasi yang dituju pasangan bahagia itu. Malam buta bawak senjata. Nak merampok agaknya?? Dah kena sampuk lah tu. Sah...

Sunday, September 7, 2008

Sahur yang suram

Sahur pagi tadi merupakan sahur yang paling suram setelah aku berjaya bangkit selama tujuh hari. Sahur ketujuh yang suram. Jam talipon aku berbunyi. Aku terjaga tepat jam lima pagi. Tapi nak buka mata sikit punya susah. Rasa macam dah kena gam gajah. Aku gagahkan diri bangun. Terus kejutkan mak aku. Pastu slumber je aku landing balik atas katil.

Tup...tup...adik aku datang kejut. Jarum jam dan minit sudah menunjukkan angka lima dan tiga. Maknanya aku dah tertidur selama lima belas minit. Apa lagi bingkas aku bangun. Cuci muka dan terus berlari-lari anak ke arah meja makan. Aku pandang nasik. Nasik pandang aku. Memang tak boleh blah. Biasanya aku steady je sumbat empat lima suap nasik. Tapi ntah kenapa aku rasa cam mual gila. Koma gila. Aku ni memang jenis yang tak reti makan nasik masa sahur sebenarnya. Biar lauk mantap macam mana sekalipun. Aku pandang sebelah mata je. Bila dah tintong, selera pun hilang.

Walhal sahur tadi lauk sikit punya baik. Udang masak pedas, terung masak pedas, ikan goreng talapia, tembikai cicah sambal ikan bilis dan milo panas. Tapi tetap tak boleh masuk. Sempat satu dua suap aku dah give up. Tak makan takut lapar. Jadi aku beralih arah. Kentang goreng dan sosej menjadi pilihan. Boleh blah sket. Tapi standard alas perut je la. Aku tak tahu sampai bila boleh bertahan. Tunggu dan lihat apa reaksi perut aku nanti.

P/s : Sebenarnya malam tadi aku tidur jam dua lebih. Ralit sangat surf internet. Aku rasa itulah punca kenapa aku rasa lesu semacam. Tapi sampai jam dua ni perut aku masih steady. Syukur.

Friday, September 5, 2008

Sweet September...

Semalam adalah hari keramat bagi aku. Semalam yang hangat. Tepat jam 12 tengah malam 4 September 2008. Genap aku berumur 25 tahun. Maknanya sudah 25 tahun aku melata di bumi Tuhan ini. Alhamdulillah. Aku bersyukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan oleh Al-Khaliq untuk terus hidup sebagai khalifah muka bumi.

Tiada apa yang menarik berlaku sepanjang hari. Melainkan menerima mesej-mesej hari jadi di talipon, mengapprove komen-komen bergambar yang turut berbaur hari jadi di friendster dan sekeping kad hari jadi buatan sendiri oleh pelajar. Tiada kek coklat berkrim disukai ramai, lilin usia membakar diri dan hadiah berbalut kertas licin berkilat mahupun nyanyian lagu Selamat Hari Jadi kedengaran berkumandang. Namun aku tetap gembira seadanya. Kerana masih diingati dan dihargai oleh sanak saudara, rakan taulan dan orang sekelilingku.

Apa yang menarik perhatianku adalah kad hari jadi buatan sendiri yang telah dihadiahkan oleh pelajar. Ianya kecil, mantap dan lebih terampil. Walaupun ia dibuat hanya daripada sekeping kertas A4. Kesungguhan dan keikhlasan jelas terpancul pada kad tersebut. Juga pada riak wajah mereka ketika menghulurkannya kepada aku selepas waktu sekolah. Siap kaler pink dan beropol-ropol lagi. Aku ingin berkongsi mengenai isi kandungan kad tersebut. Yang pasti tiada prakata di dalamnya. Begini bunyinya...

Selamat Hari Ulang Tahun yang ke-25.
Kami ingin memohon maaf jikalau ada salah silap, terkasar bahasa dan tingkah laku kami selama ini.

Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki.

Semoga bahagia di samping keluarga yang tersayang.

Semoga berjumpa dengan gadis Melayu terakhir.

Kalau dah kahwin, moga-moga dapat baby yang comel macam kami.

Ikhlas dari anak muridmu...

Kah kah kah. Aku tergelak besar membacanya. Manakan tidak. Pelajar ku ini sudah pandai menyindir sinis cikgu mereka. Menyelam sambil minum air kata mereka lagi. Sah aku terkena. Aku dihimpit rasa bingung yang amat. Bagaimana mereka ini sudah pandai membuat lawak A R Tompel di era Islam Hadhari ini? Tidak pernah pula aku mengajar teknik-teknik membuat lawak spontan di dalam kelas. Seingat aku. Dasar lawak siapa yang ajar begini? Aku redha. Baik buruk mereka tetap anak muridku.

Di sini aku ingin merakamkan terima kasih yang tak terhingga kepada kalian berempat dan orang persendirian yang sudi menghamburkan kata-kata keramat 'Selamat Hari Jadi'. Akan aku kenang sampai mati. Aku doakan kalian beroleh kejayaan dunia akhirat. Amin. Asal tetiba aku emosi plak ni? Sentimental betul.

P/s : Tapi sudah ada teman seperjuangan yang sudi dan berkenan mencemar duli untuk belanja aku di maktab kelak. Tak sabar rasanya. Siapakah gerangan berhati mulia itu? Lu pikir la sendiri...

Merdeka dan Salam Ramadhan

Sudah agak terlewat untuk menyampaikan Salam Merdeka dan Salam Ramadhan. Aku tahu. Tapi aku tak peduli apa orang cakap. Aku tetap nak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-51 dan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada seluruh rakyat Malaysia.

It's better late than never right? Pergh. Memang solid.

Diharapkan agar Hari Kemerdekaan tahun ini akan menjadi lebih bermakna. Sekaligus dapat membenihkan semangat patriotik terhadap negara. Aku sayang Malaysia. Bumi tanah tumpah darahku. Darah nenek moyangku. Aku bangga jadi anak Malaysia.

Aku juga berharap agar Ramadhan tahun ini bukanlah Ramadhan yang terakhir buatku. Semoga kita dapat meningkatkan amal ibadat dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Bulan di mana 'syaitonirrajim' dibelenggu. Bulan di mana pahala dilipatgandakan bagi setiap amalan. Bulan di mana KFC dan McD tiada berguna lagi. Jadi marilah sama-sama kita berusaha mendapatkannya. Yang bulat tak datang bergolek. Yang pipih tak datang melayang. Pergh. Mantap. Sekali lagi.

P/s : Tahun ni aku tak sambut merdeka pun. Rugi tak dapat tengok bunga api. Walhal aku berada di KL malam 31 Ogos. Kenapa ek? Tak terbuka hati. Lagipun aku lebih suka menyelami erti kemerdekaan yang sebenar daripada berpesta ke pagi buta tanpa mengetahui apa-apa.